KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mencadangkan pertimbangan had maksimum tiga penggal sebagai had tempoh jawatan Perdana Menteri serta penetapan had umur bagi ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN).
Presidennya, Fazreen Fauzi berkata, pihaknya menyambut baik komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung had tempoh jawatan itu namun berpandangan, had maksimum tiga penggal bagi jawatan itu lebih seimbang.
Ia dilihat praktikal dalam memastikan kestabilan pentadbiran, disamping menjamin peralihan kepimpinan yang terancang, katanya dalam kenyataan.
Menurut GPMS, tempoh tiga penggal membolehkan pelaksanaan dasar reformasi jangka sederhana dan panjang dijalankan secara berkesinambungan serta dinilai keberkesanannya sebelum pertukaran kepimpinan berlaku.
“Dalam masa yang sama, GPMS turut mencadangkan penetapan had umur wakil rakyat sebagai usaha memperkukuh regenerasi kepimpinan negara, iaitu had umur ahli Parlimen tidak melebihi 75 tahun manakala ADUN tidak melebihi 60 tahun,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Beliau menjelaskan, cadangan itu selaras dengan pewartaan had umur belia bawah 30 tahun sekali gus mewujudkan sinergi menyeluruh dalam ekosistem kepimpinan negara bermula daripada peringkat belia, negeri hingga ke peringkat nasional.
“GPMS juga mengambilkira hakikat bahawa penjawat awam bersara pada umur 60 tahun. Justeru, penetapan had umur bagi ahli Parlimen dan Ahli DUN adalah wajar serta munasabah selaras dengan prinsip keadilan, kecekapan dan kesinambungan kepimpinan dalam sistem pentadbiran serta legislatif negara,” ujarnya.
Tambah beliau, kesinambungan dasar tersebut penting bagi memastikan bakat muda bukan sekadar disediakan sebagai pelapis sebaliknya diberikan ruang dan laluan yang jelas dalam sistem politik serta tadbir urus negara.
Pada masa sama, Fazreen menegaskan, cadangan itu tidak menafikan pengalaman, jasa dan sumbangan tokoh-tokoh senior sebaliknya mengiktiraf peranan mereka sebagai sumber kebijaksanaan dan panduan melalui peranan penasihat, pemikir serta negarawan.
Sehubungan itu, katanya, GPMS mengalu-alukan agar semua cadangan berkenaan dibincangkan secara terbuka, matang dan inklusif melibatkan Parlimen, kerajaan negeri, ahli akademik, belia serta masyarakat sivil demi memastikan sebarang pembaharuan yang dilaksanakan benar-benar mengukuhkan sistem demokrasi dan masa depan Malaysia. – MalaysiaGazette
















