Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bercakap kepada media pada sesi pembentangan laporan prestasi 2025 dan pelan 2026 Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di Menara Prasarana, Ara Damansara. Foto MOHD ADZLAN, 07 JANUARI 2026.

PETALING JAYA – Kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan kontraktor Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) bagi memperincikan isu kelewatan berterusan serta isu keselamatan yang belum diselesaikan. 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pertemuan akan diadakan pada minggu depan turut melibatkan Prasarana Malaysia Bhd sebagai operator perkhidmatan pengangkutan awam berkenaan.

Jelasnya, pertemuan berkenaan antaranya akan memuktamadkan tindakan selanjutnya, khususnya berkaitan isu teknikal yang masih belum diselesaikan sekaligus menghalang pelaksanaan Ujian atanpa Gagal (FFR) projek berkenaan.

“Setakat hari ini, masih tiada tarikh tetap bagi pelaksanaan FFR kerana beberapa isu masih belum diselesaikan oleh kontraktor,” katanya pada sidang media Pembentangan Laporan Prestasi Prasarana 2025 dan Pelan 2026 di sini hari ini.

Sebagai info, , FFR merupakan prasyarat penting sebelum operasi percubaan dapat dimulakan.

Mengulas lanjut, Anthony berkata setakat ini hanya tiga set tren LRT3 yang telah melalui proses FFR manakala selebihnya belum melalui prosedur tersebut.

“Keselamatan mesti diutamakan. Tanpa melengkapkan semua peringkat ujian yang diperlukan, kami tidak boleh mempertimbangkan kelulusan operasi, tanpa mengira tempoh kelewatan,” katanya sambil menambah kontraktor akan dipertanggungjawabkan bagi memenuhi keperluan teknikal dan keselamatan.

Tahun lalu, Prasarana mengesahkan LRT3 tidak akan mula beroperasi awal tahun ini, susulan keperluan menyelesaikan isu kestabilan sistem dan perisian yang masih dikesan dalam fasa pengujian dan pentauliahan (TC).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast