KUAA LUMPUR – Kenyataan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang mempersoalkan peruntukan tambahan kerajaan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) disifatkan sebagai mengelirukan.
Timbalan Setiausaha Agung Keadilan merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), G Sivamalar berkata, pertikaian dibangkitkan itu tidak berasaskan fakta sebenar serta mengabaikan konteks pengumuman Perdana Menteri mengenai keperluan mendesak sekolah-sekolah terbabit.
Menurutnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukan segera berjumlah RM80 juta dan RM50 juta kepada SJKT kerana banyak sekolah aliran itu masih berdepan masalah kemudahan daif dan fasiliti uzur yang menjejaskan keselamatan serta pembelajaran murid.
“Ini bukan soal keutamaan kaum. Ini soal keperluan sebenar di lapangan. Peruntukan ini bertujuan membaiki dan menggantikan fasiliti rosak supaya murid dapat belajar dalam persekitaran yang selamat dan bermaruah,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas hujah Perkasa yang membandingkan bilangan Sekolah Kebangsaan dengan SJKC dan SJKT, Sivamalar menegaskan, pendekatan itu bersifat cetek dan tidak mencerminkan realiti pengagihan peruntukan pendidikan.
“Peruntukan pendidikan tidak ditentukan berdasarkan jumlah sekolah semata-mata tetapi berdasarkan tahap keperluan. Sekolah Kebangsaan terus menerima peruntukan besar setiap tahun.
“Mendakwa seolah-olah bantuan kepada SJKC dan SJKT menyebabkan sekolah lain terpinggir adalah naratif yang tidak benar,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan kewujudan serta pembiayaan SJKC dan SJKT adalah sebahagian daripada sistem pendidikan negara dan dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“SJKC dan SJKT bukan sekolah pinggiran. Ia diiktiraf dan dilindungi Perlembagaan. Maka bantuan kerajaan kepada sekolah-sekolah ini bukan ihsan politik, tetapi tanggungjawab berperlembagaan,” ujarnya.
Sivamalar juga membidas tindakan Perkasa yang mengaitkan peruntukan kepada SJKC dan SJKT dengan isu sekolah kebangsaan agama.
“Jika benar mahu memperjuangkan pendidikan, lakukan secara konsisten dan menyeluruh. Jangan jadikan masa depan anak-anak Malaysia sebagai alat politik sentimen,” katanya.
Beliau menegaskan, langkah kerajaan Madani menyalurkan peruntukan kepada sekolah-sekolah yang daif merupakan pelaburan penting bagi meningkatkan mutu pendidikan nasional tanpa mengira aliran atau latar belakang pelajar. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















