KUALA LUMPUR – Polis sedang giat mengesan individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian tembakan yang mengorbankan seorang lelaki tempatan di sebuah restoran sekitar Banting, Selangor, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan, kita sedang kenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Menurut laporan awal, mangsa yang berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas ditembak berhampiran sebuah restoran makanan segera di kawasan Banting.
Akmalrizal berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, dan pihak polis tidak menolak sebarang kemungkinan termasuk unsur jenayah terancang, namun menegaskan semua sudut siasatan masih terbuka.
Beliau menambah, siasatan turut melibatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), keterangan saksi serta maklumat risikan bagi membantu mempercepatkan proses pengesanan suspek.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222. -MalaysiaGazette
















