Gelagat Albert Tei selepas keluar dari perkarangan mahkamah berikutan pertuduhan rasuah ketika di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 08 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei memfailkan saman terhadap Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, agensi siasatan itu dan kerajaan Malaysia kerana mendakwa dipaksa memakai baju lokap berwarna oren sebelum disabitkan bersalah oleh mahkamah.

Peguamnya, N Surendran berkata, tuntutan saman dan ganti rugi difailkan pihaknya di Mahkamah Tinggi semalam dengan hujah tindakan tersebut tidak wajar apatah lagi anak guamnya terbukti dan disabitkan bersalah menerusi institusi kehakiman.

Peguam, N. Surendran bercakap pada sidang media berkenaan pertuduhan rasuah ketika di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 08 JANUARI 2026.

 

“Atas kuasa mana, undang-undang mana orang yang hanya ditangkap masih disiasat, orang biasa dipaksa memakai baju lokap oren,” katanya ketika sidang media di lobi Kompleks Mahkamah di sini hari ini.

Katanya lagi, dalam masa yang sama tindakan berkenaan turut memalukan anak guamnya.

“Gambar diambil, perkara itu tersebar di internet dan sebagainya kalau akhirnya orang itu dibebaskan oleh mahkamah apa jadi?

“Adakah beliau boleh menebus kehilangan maruah? Dimalukan seperti itu? Sebenarnya undang-undang di Malaysia tidak membenarkan orang yang belum disabit kesalahan untuk dipaksa pakai baju lokap,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, pihak pembelaan ahli perniagaan berkenaan meminta supaya mahkamah mengisytiharkan pemakaian baju lokap oren SPRM sebagai tidak berperlembagaan.

Sementara itu, Albert juga mendakwa SPRM dengan niat sengaja untuk memalukannya apabila membawanya ke beberapa tempat dengan berpakaian baju lokap itu, sebelum ini.

“Saya dibawa ke mahkamah dengan digari dan pakai baju tersebut untuk direman selepas itu SPRM bawa ke beberapa tempat yang dilihat oleh orang ramai.

“Apa niat SPRM? Perbuatan mereka adalah dengan sengaja berniat memperjudiskan imej saya di mata masyarakat

“Selain itu mereka dengan sengeja mendera mental saya, cuba menghancurkan semangat perjuangan saya namun saya ingin menekankan dan menegaskan saya beritahu kepada Anwar Ibrahim dan Azam Baki bahawa mereka memandang remeh terhadap keazaman dan kesungguhan saya,” jelasnya.

Lelaki itu turut mendakwa agensi siasatan tersebut termasuk kerajaan tidak bersikap adil apabila hanya menetapkan pemakaian baju lokap kepada rakyat biasa.

“Saya ingin tanya kenapa (Datuk Seri Najib Razak, (Datin Seri) Rosmah (Mansor), (Tan Sri) Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini tidak pakai baju oren SPRM?

“Kenapa? Apa beza? Sebab mereka berprofil tinggi? Saya orang biasa? Adalah ini cara penguatkuasaan Malaysia dengan dua darjat? Saya cabar SPRM jawab soalan saya,” tambahnya.

Sebagai rekod, Albert pada 4 Disember lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan berhubung memberi rasuah sebanyak RM176,829.03 bagi mendapat kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Bagi pertuduhan pertama dan ketiga, Albert didakwa telah secara rasuah bersetuju memberi satu suapan iaitu wang tunai sejumlah RM140,000 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar bagi membantu syarikat-syarikatnya mempunyai kepentingan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di negeri Sabah.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu pada 24 November 2023 dan 29 Januari 2024, di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bagi pertuduhan kedua dan keempat, Albert didakwa telah memberikan satu suapan iaitu kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM 36,829.03 kepada individu yang sama bagi tujuan yang sama.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast