Ab Rauf (kiri) yang mengetuai delegasi Melaka mengadakan lawatan rasmi ke Desan Shipyard, Istanbul bagi memuktamadkan kerjasama strategik projek Enrique of Malacca Shipyard, sebuah limbungan kapal moden bernilai RM1.8 bilion dibina di Zon Ekonomi Persisiran Pantai Selat Melaka.

MELAKA – Melaka memperkukuh kedudukannya sebagai hab maritim serantau apabila memuktamadkan kerjasama strategik projek Enrique of Malacca Shipyard, sebuah limbungan kapal moden bernilai RM1.8 bilion.

Majlis menandatangani memorandum perjanjian antara Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan wakil syarikat dijadual berlangsung di Istanbul hari ini.

Ab Rauf berkata, projek berkeluasan 23.3 ekar yang dijangka mula beroperasi pada 2028 itu bakal dibangunkan di Zon Ekonomi Persisiran Pantai Selat Melaka (SM-WEZ).

“Projek Enrique of Malacca Shipyard bukan sahaja memperkukuh keupayaan industri maritim negeri, malah mengangkat semula legasi maritim Melaka ke peringkat antarabangsa melalui kerjasama teknologi dan kepakaran global.

“Ia akan dibangunkan di kawasan pesisir pantai Melaka merangkumi keluasan 23.3 ekar (9.4 hektar), dengan akses terus ke laluan perkapalan antarabangsa tersibuk dunia, iaitu Selat Melaka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Ab Rauf mengetuai lawatan rasmi ke Desan Shipyard, Istanbul bagi memuktamadkan kerjasama strategik membangunkan projek berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, projek berkenaan adalah melalui usaha sama antara SM-WEZ Corporation sebagai agensi peneraju zon ekonomi khas tersebut dengan Henry The Black Shipyard Sdn. Bhd. sebagai pemaju projek.

“Ia turut melibatkan kerjasama strategik bersama syarikat perkapalan terkemuka Türkiye, Desan Deniz, yang mempunyai pengalaman industri selama 47 tahun.

“Dengan tempoh pembinaan selama dua tahun, Enrique of Malacca Shipyard dijangka mula beroperasi pada 2028 dan berfungsi sebagai pemangkin utama pertumbuhan industri maritim di Selat Melaka dan rantau Asia Tenggara,” katanya.

Antara komponen utama projek ini ialah pembinaan dan pembaikan kapal (SBSR), perkhidmatan marin, kemudahan fabrikasi dan komponen tarikan pelancongan maritim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast