KOTA TINGGI – Seorang penuntut wanita Kolej Vokasional ERT Azizah maut selepas motosikal ditunggang dilanggar kereta terbabas dan masuk ke laluannya di Kilometer 67.4, Lebuh Raya Senai-Desaru di sini malam tadi.
Kejadian tersebut mengorbankan Intan Darwiena Abdullah yang berusia 20 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 10.40 malam melibatkan motosikal jenis Honda Beat dan kereta Toyota Vios.
“Siasatan mendapati kereta tersebut dalam perjalanan dari arah Bandar Penawar menghala ke Johor Bahru dan apabila sampai di lokasi kejadian telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal tersebut.
“Akibat kemalangan tersebut penunggang mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Yusof berkata, mangsa dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk prosedur siasatan manakala pemandu berkenaan mengalami kecederaan sakit pada bahagian dada dan masih dirawat di hospital yang sama.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000.
Tambahnya nya, pesalah juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh lima tahun.- MalaysiaGazette
















