KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini mengemukakan permohonan untuk memindahkan pertuduhan yang dihadapinya ke Mahkamah Tinggi.
Permohonan tersebut dikemukakan oleh pihak pembelaannya di Mahkamah Sesyen hari ini.
Peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, pihaknya membuat permohonan tersebut kerana ingin membangkitkan isu berkaitan undang-undang sedia melibatkan tuduhan terhadap anak guamnya itu.
“Pada masa yang sama juga kami memaklumkan kepada mahkamah dan pihak pendakwaan bahawa setelah mengkaji pertuduhan-pertuduhan terhadap Datuk Seri Syamsul, kami akan memfailkan permohonan memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi
“Kerana terdapat isu undang-undang yang ingin kami timbulkan dan bangkitkan di peringkat mahkamah tinggi,” katanya ketika sidang media di lobi Kompleks Mahkamah hari ini.
Dalam masa yang sama, katanya, prosiding hari ini menyaksikan pihak pendakwaan dalam proses menyedia dan menyerahkan dokumen-dokumen kepada pihak pembelaan.
“Kami telah memaklumkan kepada pihak mahkamah bahawa seboleh-bolehnya berharap dokumen dapat diaerahkan secepat yang mungkin.
“Kalau tidak sekali gus, secara berperingkat juga kami terima untuk kami kaji apakah dokumen dan keterangan-keterangan terhadap Datuk Seri Shamsul,” katanya lagi.
Selain itu, beliau turut mengesahkan pihak pendakwaan turut mengemuakan permohonan supaya pertuduhan Shamsul Iskandar di Mahkamah Sesyen Shah Alam dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan secara serentak.
Terdahulu, Hakim Suzana Hussin menetapkan sebutan kes seterusnya pada 11 Mac 2026.
Pada 4 Disember lalu, Shamsul Iskandar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, atas empat pertuduhan rasuah lebih RM170,000 sejak tiga tahun lalu sebagai dorongan membantu syarikat ahli perniagaan Albert Tei mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Sehari selepas itu, beliau dituduh lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didakwa memperoleh suapan berjumlah RM62,924 daripada Albert, di sebuah bank di Country Heights, Kajang antara 28 Nov 2023 hingga 23 Sept 2024. – MalaysiaGazette
















