KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali membuat laporan polis malam tadi berhubung isu gangguan kritikal bekalan air di Mukim Kinarut dan Kawang yang dikesan melibatkan unsur khianat serta sabotaj.

Beliau membuat laporan tersebut di Balai Polis Kinarut bersandarkan laporan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang mendapati berlaku gangguan ke atas injap pintu air (sluice valve) di dua Booster Pumps milik JANS.

“Tujuan laporan dibuat adalah untuk meminta pihak polis membuat siasatan terhadap tindakan yang dilihat melibatkan unsur khianat dan sabotaj ke atas infrastruktur/utiliti awam yang telah mendatangkan kemudaratan awam.

“Sungguhpun JANS telah membuat komitmen untuk membuat siasatan dalaman, namun saya berpendirian ia juga perlu serentak disiasat oleh pihak polis kerana tindakan ini melibatkan unsur kesalahan jenayah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, menerusi dapatan pasukan khas JANS mendapati wujud gangguan tersebut melibatkan alihan bekalan air ke kawasan luar dari Mukim Kinarut dan Kawang hingga melewati sempadan daerah Papar.

“Tindakan itu telah menyebabkan sumber air sedia ada semakin berkurangan hingga mendatangkan kesulitan serius kepada penduduk yang kini terpaksa bergantung kepada jadual catuan,” katanya.

Mesyuarat khas bagi membincangkan solusi jangka pendek, sederhana dan panjang terhadap kemelut bekalan air di daerah tersebut sejak penghujung Disember lalu.

Terdahulu, satu mesyuarat khas telah dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Sr Safar Untong atas persetujuan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bagi membincangkan solusi jangka pendek, sederhana dan panjang terhadap kemelut bekalan air di daerah tersebut sejak penghujung Disember lalu.

“Antara strategi serta-merta yang akan digerakkan bermula Jumaat (9 Januari) adalah melaksanakan penyambungan silang (inter-connection) dari tangki utama Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon terus ke tangki utama Kawang bagi memastikan bekalan disalurkan terus tanpa melalui rangkaian paip yang terlalu jauh.

“Selain itu, JANS turut diarahkan meningkatkan kapasiti pemprosesan LRA Kogopon 1 sebanyak 10 peratus sebagai langkah interim sehingga projek LRA Kogopon 2 siap sepenuhnya pada suku keempat tahun 2026,” katanya lagi.

Sementara itu, berkenaai kenyataan pihak pembangkang baru-baru ini, Armizan tidak mahu memberi respon politik buat masa ini.

“Fokus saya kini adalah untuk mencari ikhtiar menangani kesulitan yang dihadapi oleh penduduk.

“Rakyat pastinya tidak mahu mendengar balasan pantun politik pada masa ini.

“Apabila bekalan air dapat distabilkan dan kesulitan penduduk dapat diredakan, saya akan memberikan respon sekali gus menzahirkan saham besar beliau dan partinya sebagai antara penyumbang utama kepada kesulitan yang dihadapi rakyat kini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast