Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil (tengah) bergambar bersama wakil penerima peruntukan RM50,000 bag ikerja naiktaraf Bangsal Nelayan Kampung Pantai Pelindung dan Kampung Beserah Pantai hari ini

KUANTAN – Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), hari ini mengumumkan peruntukan tambahan bernilai RM50,000 untuk naiktaraf bangsal nelayan Kampung Beserah bagi tahun 2026.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil mengumumkan perkara itu ketika menghadiri Majlis Rahmah Mesra Madani Pengerusi LKIM Bersama Nelayan PNK Kuantan, di Kampung Pantai Pelindung di sini hari ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil menandatangani plak Perasmian Bangsal Nelayan kampung Pantai Pelindung, Kuantan hari ini.

Dalam majlis itu juga, seramai lima orang nelayan dari Balok menerima Bantuan Tabung Kebajikan dan Bencana Alam LKIM bernilai RM7,000.00.

Kesemua mereka telah mengalami musibah banjir dan musibah air pasang besar luar biasa yang mengakibatkan bot mereka terbalik dan peralatan memancing dihanyut bah pada bulan November yang lalu.

Menurut salah seorang penerima bantuan, Tuan Azam Tuan Mamat, 60, yang tinggal di Kampung Balok, bantuan tersebut dapat meringankan bebannya dalam proses membaiki bot dan mendapatkan semula peralatan memancing untuk turun semula ke laut untuk mencari rezeki kelak.

Tuan Azam Tuan Mamat

“Syukur menerima bantuan bencana ni sebab bot saya tenggelam di Jeti Balok baru-baru ini di mana enjin dan barang-barang dalam bot semua habis hanyut termasuk jaring, GPS, semua hanyut.

“Anggaran kira-kira RM5,000 juga kerugian. Bot saya satu tu sahaja,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jelasnya lagi, dia menggunakan wang bantuan itu untuk menampung perbelanjaan seharian mereka sekeluarga memandangkan dia menanggung isteri, seorang anak yang belajar di institut pengajian tinggi, dua orang cucu, adik ipar dan tiga orang anak saudara.

“Bantuan yang dapat hari ini dapat meringankan beban sikit. Sekarang musim tengkujuh memang tak ke laut. Sekarang dalam proses membaiki bot, enjin semua. Sebab tak kelaut, dalam masa sama anak nak masuk sekolah.

“Mungkin seminggu dua lagi kalau keadaan cuaca mengizinkan saya akan turun ke laut pula,” katanya lagi.

Begitu juga dengan seorang lagi penerima, Othman Ismail, 70, yang menerima nasib sama selepas bot di Jeti Balok baru-baru ini rosak akibat ditenggelami air kerana hujan lebat berterusan.

Othman Ismail

“Bot tenggelam, pukat, jaring dan tong dan semua barang memancing lain hanyut. hujan lebat dari pagi sampai malam, bot perlahan-lahan dimasuki air sehingga terbalik dan tenggelam.

“Saya baiki enjin sedikit demi sedikit sebab memerlukan belanja yang besar. Perlu beli peralatan memancing semula,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Zaman Mohamad, 51 yang tinggal di Kampung Pantai Balok di sini pula menerima bantuan tersebut kerana rumahnya ditenggelami air akibat banjir.

“Masa kejadian, mujurlah saya tinggal seorang sebab isteri sedang kerja. Saya terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selama tiga hari sebab rumah ditenggelami air.

“Saya dapat bantuan RM300. ‎Syukur la juga sebab ada orang nak bagi. Kerosakan rumah itu hanya almari, tikar getah dan meja makan yang tak sempat diselamatkan,” katanya.

Zaman Mohamad

Dalam majlis sama juga, seramai 36 orang nelayan Zon A dari Kampung Pantai Pelindung, Kuantan (Ahli Persatuan Nelayan Kawasan Kuantan) yang berpendapatan rendah dan daripada golongan B40, menerima bantuan bakul makanan iaitu bekalan makanan harian seperti beras, gula, minyak, tepung, kicap, sardin, kopi dan teh.

Sebagai rekod, jumlah Bantuan Tabung Kebajikan dan Bencana Alam LKIM bagi tahun 2025 adalah sebanyak RM95,150.00 dan telah diterima oleh 51 orang penerima. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast