KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mencabar mana-mana pihak untuk mendedahkan salah laku rasuah agensi kerajaan itu berasaskan fakta dan mengemukakan bukti yang kukuh.
Pengerusinya, Datuk Hans Isaac berkata, setiap dana termasuk geran daripada FINAS yang dianugerahkan kepada mana-mana syarikat perlu melalui proses audit ketat dan mengikut operasi standard operasi (SOP) yang ditetapkan.
“Kalau nak buat tuduhan, (kena) ikut prosedur, kita harus adil kepada semua sebagai agensi kerajaan. Yang terbaik adalah dengan menyiarkan dengan fakta dan bukti terus tapi kami ambil semua tuduhan serius di FINAS.
“Kami tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan sebagai agensi kerajaan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp malam tadi.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan Pengarah Filem, Murali Abdullah mendakwa wujud amalan rasuah dalam proses kelulusan projek dan program berkaitan perfileman membabitkan FINAS.
Murali mendakwa seorang pegawai FINAS dikenali sebagai “Mr R” memberikan dana latihan perfileman dalam talian sehingga RM60,000 kepada syarikat tertentu semasa negara dilanda pandemik Covid-19 pada 2021.
Dalam pada itu, Isaac juga menafikan FINAS memberikan dana atau geran latihan perfileman secara talian sehingga RM60,000 kepada mana-mana syarikat.
“Kami juga tidak membuat latihan (perfileman) dalam talian selepas Covid-19, hanya untuk program latihan dua hingga tiga sahaja, sebab setiap dana latihan diaudit dengan foto, video serta kewangan.
“Sebagai pengerusi, saya tahu FINAS tidak sesekali memberi apa-apa dana untuk latihan dalam talian tetapi hanya masa Covid-19.
“Apa pun, kami akan membuat penyelidikan dan mendapatkan fakta terlebih dahulu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Latihan perfileman dalam talian dicaj hingga RM30,000? – Murali
















