KUALA LUMPUR – Persiapan menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 memasuki fasa akhir menerusi raptai perasmian yang berlangsung di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pagi tadi.
Raptai yang bermula pukul 7.30 pagi itu melibatkan perbarisan Skuad Sayang Wanita UMNO Malaysia; Skuad Sabil Pergerakan Pemuda UMNO dan Sekolah Patriotik UMNO.
Dikendalikan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan, raptai itu dimulakan dengan upacara menaikkan bendera sayap-sayap UMNO, sebelum diteruskan dengan nyanyian lagu rasmi parti ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.
Sementara itu, selain raptai di Plaza Merdeka, latihan di dalam dewan turut dilakukan melibatkan persidangan tiga pergerakan sayap UMNO serta majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka.

Perhimpunan Agung UMNO 2025 akan berlangsung bermula 14 hingga 17 Januari ini, melibatkan kehadiran perwakilan daripada 191 bahagian di seluruh negara.
Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, seramai 6,412 perwakilan UMNO sudah mengesahkan kehadiran pada PAU 2025.
Daripada jumlah itu, seramai 2,928 perwakilan akan menghadiri PAU; Perhimpunan Agung Wanita (1,165 orang); Perhimpunan Agung Pemuda (1,173 orang) dan Perhimpunan Agung Puteri (1,146 orang).
Turut diadakan sempena PAU 2025 adalah Multaqa Ilmuwan Islam yang menampilkan ahli panel termasuk Mufti Perlis, Datuk Seri Dr. Asri Zainal Abidin dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadhil.
Selain itu, turut berlangsung adalah Konvokesyen Sekolah Patriotik UMNO yang akan dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta pelancaran program Jom Sihat oleh Pergerakan Wanita UMNO Malaysia. – MalaysiaGazette
















