KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor berjaya mengesan sekumpulan penunggang motosikal melakukan aksi ekstrem di sepanjang Lebuhraya Guthrie Corridor Expressway (GCE) menerusi Op Khas Bersepadu Samseng Jalanan yang dijalankan tengah malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Hassan berkata, seramai 10 orang melibatkan golongan remaja sekolah, pelajar kolej dan pekerja swasta berusia di antara 17 hingga 26 tahun ditahan ketika operasi.
“Antara aksi ekstrem yang dilakukan sekumpulan penunggang motosikal berkenaan adalah bersaing sesama sendiri, melawan arus serta aksi ‘zig-zag’ dan ‘superman’.
“Perbuatan melulu ini bukan sahaja membahayakan nyawa mereka sendiri malah mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya sambil mengesahkan 10 buah motosikal turut disita.
Menurutnya, semua yang ditangkap dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.
Selain itu beliau berkata, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut menahan lima lelaki tempatan yang dikesan positif dadah jenis Methamphetamine, ganja dan ketum.
Terdahulu, Mohd Zaini berkata operasi yang bermula 12.30 tengah malam hingga 4 pagi tadi itu memfokuskan kawasan antara lampu isyarat Denai Alam ke jejantas Persiaran Elmina bagi membanteras kegiatan samseng jalanan.
Seramai tiga pegawai kanan dan 77 anggota JSPT Selangor terlibat dalam operasi itu selain AADK dan pihak konsesi Lebuhraya GCE.
Mohd Zaini berkata, kejayaan perasi tersebut mencerminkan komitmen berterusa polis Selangor dalam memastikan keselamatan jalan raya sentiasa terjamin daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Sehubungan itu, pihak polis tidak akan berkompromi dan kan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan demi keselamatan pengguna jalan raya,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















