TOKYO – Sepanjang Laut Jepun dijangka dilanda ribut salji teruk disertai angin kencang ketika salji diramalkan turun di kawasan yang luas dari utara hingga barat daya Jepun sehingga hari Isnin.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA), corak tekanan musim sejuk yang kuat serta jisim udara sejuk sedang membawa salji ke kawasan dari Hokkaido hingga Kyushu, terutamanya di sepanjang pantai Laut Jepun.
Dalam tempoh 24 jam sehingga pagi Isnin, sehingga 80 sentimeter salji dijangka turun di kawasan pergunungan di wilayah Tohoku serta wilayah Niigata dan Gifu, 70 sentimeter di wilayah Hokuriku, 60 sentimeter di wilayah Kinki, dan 50 sentimeter di wilayah Hokkaido, Kanto-Koshin dan Chugoku, menurut JMA.
Syarikat kereta api Jepun telah membatalkan beberapa perkhidmatan kereta api, terutamanya di kawasan Tohoku dan Hokuriku, lapor penyiar awam NHK.
All Nippon Airways (ANA) dan Japan Airlines (JAL) turut membatalkan beberapa penerbangan yang menghubungkan wilayah Sanin atau Hokuriku dengan kawasan lain sejak pagi Ahad, menurut laporan itu. – Agensi
















