JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor mendesak kerajaan negeri menghentikan budaya ‘cash is king’ yang telah lama dijadikan pendekatan populis dan alat memancing sokongan politik.
Ketua Penerangan Pejuang Johor, Suraya Sulaiman berkata, bantuan tunai yang berulang tanpa pelan jangka panjang hanya akan mewujudkan kebergantungan bukan memperkasakan rakyat contohnya Bantuan Kasih Johor (BKJ 2026).
“Lebihan fiskal negeri seharusnya digunakan secara strategik untuk mengurangkan hutang negeri, membangunkan infrastruktur berkualiti, menarik pelaburan bernilai tinggi, membuka peluang pekerjaan berpendapatan mampan serta memperkukuh sokongan kepada usahawan kecil dan sektor produktif.
“Sekiranya kewangan negeri berada pada tahap yang kukuh dan stabil, kerajaan juga wajar mempertimbangkan pengurangan cukai atau pemberian diskaun cukai secara berkala,” katanya dalam kenyataan.
BKJ 2026 diumumkan menerusi Belanjawan Johor 2026 menerusi peruntukan keseluruhan berjumlah hampir RM170 juta yang memanfaatkan lebih 330,000 penerima di seluruh negeri.
Suraya berkata, pendekatan itu bukan sahaja lebih adil kepada golongan pembayar cukai, malah selari dengan prinsip keadilan sosial dan tuntutan Islam.
Jelasnya, ini berbanding mengenakan cukai kepada semua tetapi menyalurkan bantuan kepada golongan yang tidak benar-benar memerlukan.
Prinsip Pejuang Johor jelas dan konsisten iaitu beri joran dan bukan ikan, katanya.
“Rakyat tidak memerlukan bantuan bermusim semata-mata, sebaliknya dasar yang membina keupayaan, kemahiran dan daya tahan ekonomi dalam jangka panjang.
Kesimpulannya ujar beliau, kemakmuran Johor mesti dibina atas dasar yang inklusif, telus dan berwawasan jauh.
“Negeri ini tidak boleh terus bergantung kepada bantuan tunai atau jualan rahmah yang bersifat sementara, katanya.
Tambahnya, Johor perlu berani melakukan anjakan dasar ke arah pembangunan ekonomi yang mampan, pembinaan kapasiti rakyat dan tadbir urus yang bertanggungjawab agar setiap rakyat Johor benar-benar menikmati hasil kemakmuran negeri.- MalaysiaGazette















