JOHOR BAHRU – Seorang wanita yang masih dalam tempoh iddah dicekup Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bersama-sama kekasihnya sedang berkhalwat di sebuah rumah di daerah ini.
JAINJ dalam satu kenyataan memberitahu, penguat kuasa melakukan serbuan dibuat di rumah teres dua tingkat itu pukul 12.30 tengah malam selepas menerima satu aduan daripada orang awam.
Sebaik tiba di kediaman pintu diketuk antara lima hingga enam minit sebelum dibuka wanita berkenaan yang memakai seluar panjang dan t-shirt lengan pendek.
“Penguat kuasa memperkenalkan diri dan masuk untuk membuat pemeriksaan lanjut. Ruang tamu kelihatan berselerak dan barang tidak tersusun seperti baharu berpindah rumah.
“Rumah berkenaan mempunyai dua bilik dan ketika memasuki bilik utama, ditemui seorang lelaki sedang duduk di atas karpet bersebelahan katil sedang main telefon dengan hanya berseluar pendek dan berlenggeng,” maklum kenyataan itu.
Menurut JAINJ, pemeriksaan mendapati hanya pasangan berkenaan berada dalam rumah dan mereka mengaku bukan suami isteri.
Lelaki berkenaan berusia 30-an dan masih bujang manakala wanita juga berusia 30-an dan baru sebulan bercerai iaitu masih dalam tempoh iddah.
“Rumah itu adalah rumah wanita yang baru berpindah sejak bercerai dan lelaki terbabit banyak membantu termasuk membayarkan sewa bulanan rumah,” katanya.
Menurut JAINJ, semasa serbuan, lelaki berkenaan datang menggunakan perkhidmatan e-hailing dan masuk ke rumah secara senyap-senyap sejak siang hari.
Menurut pengadu, kejadian itu sudah banyak kali berlaku sebelum ini sehingga akhirnya pihak terbabit mengambil keputusan untuk melaporkannya kepada jabatan berkenaan..
JAINJ memaklumkan, wanita tersebut yang belum dikira bercerai sepenuhnya kerana masih dalam iddah sebagai isteri orang dan dia sudah lama mempunyai hubungan sulit dengan lelaki berkenaan.
“Dari awal sepatutnya lelaki ini tidak mengganggu isteri orang. Hasrat awal lelaki ini berjaya menjadi punca utama perceraian.
“Lelaki ini terus memperlihatkan sisi niat jahat apabila terus mengganggu wanita ini dalam iddah. Dia umpan dengan duit termasuk sewa rumah dan belanja harian,” menurut JAINJ.
Pasangan berkenaan ditahan atas kesalahan khalwat di bawah seksyen 27(1)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997.- MalaysiaGazette
















