KOTA TINGGI – Ketenangan Felda Penggeli Timur dekat sini tergugat selepas seekor lembu milik peneroka ditemui mati dibaham harimau kira-kira 1 kilometer dari rumah penduduk, semalam.

Insiden tersebut mencetuskan kegemparan dalam kalangan penduduk yang didakwa mereka pertama kali berlaku di kawasan penempatan berkenaan.

Ketua Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Felda Penggeli Timur, Fauzi Mokhtar berkata, maklumat awal kejadian diperoleh daripada mandur ladang yang sedang memantau pekerja sebelum menemui bangkai lembu berkenaan pagi tadi.

Katanya, lembu tersebut adalah milik peneroka tempatan dan ditemui dalam keadaan sebahagian badan sahaja, dipercayai akibat serangan haiwan liar itu.

“Serangan ini disyaki dilakukan oleh harimau kerana terdapat kesan tapak kaki harimau di lokasi kejadian.

“Saiz tapak kaki tersebut juga agak besar seperti saiz harimau dewasa. Kejadian ini adalah yang pertama dilaporkan di sini dan tiada kes serangan harimau direkodkan.

“Cuma sebelum ini ada dengar cerita kelibat harimau dilihat di kawasan kampung Orang Asli, itu pun sekadar kelibat, bukan serangan,” katanya ketika dihubungi.

Dia berkata, kejadian tersebut hanya disedari hari ini memandangkan semalam adalah hari cuti.

Katanya, susulan itu, laporan telah dibuat kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) oleh pengurusan ladang bagi tindakan lanjut.

Terdahulu tular gambar lembu, kesan tapak disyaki harimau dan rakaman suara menasihatkan penduduk supaya berwaspada ekoran kejadian itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast