MELAKA – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan kesetiaannya kepada parti dan tidak akan sesekali mengecewakan suara dibawa yang meletakkannya pada jawatan dipikulnya ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu percaya, tiada guna seorang pemimpin jika tiada akar umbi di bawah yang banyak menyokong perjuangan selama ini.
“Jadi kepentingan saya adalah membawa suara mereka, bukan soal jawatan saya…saya sayang pada UMNO ini dulu, kini dan Insya-Allah selama-lamanya.
“Hari ini pun saya akan berjumpa dengan Ketua Menteri (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh) dan Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) untuk bincangkan perjalanan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 15 Januari ini.
“Mungkin saya akan nyatakan hasrat saya kalau dipersetujui kita akan umumkan pada pagi 15 Januari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, apakah harapannya dalam pertemuan itu nanti, Dr Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka itu mengulangi kenyataan tidak mahu mengecewakan apa sahaja suara yang dibawa.
“Saya tak nak mengecewakan apakah suara yang telah kita bawa, jadi sebagai pemimpin yang ada tanggungjawab, maka suara pemimpin di bawah dan juga suara akar umbi perlu kita angkat ke atas.
“Jadi harapan saya adalah suara mereka tidak diketepikan…doa-doakanlah ya…saya akan jawab di PAU nanti (berhubung kedudukan dalam jawatan),” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















