Anthony Loke.

GEORGE TOWN – Kontraktor yang terbabit dalam projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Pulau Pinang diarahkan melaksanakan pelan mitigasi trafik secara berterusan bagi meminimumkan kesan kesesakan jalan raya susulan pembinaan projek berkenaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, aktiviti pembinaan projek berkenaan kini semakin rancak dengan kemasukan jentera berat ke tapak pembinaan dijangka memberi kesan kepada kelancaran trafik.

“Apabila saya sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), boleh lihat proses pembinaan rancak dimulakan dan jentera-jentera telah pun digerakkan ke tapak pembinaan.

“Malah, sudah tentu dalam apa-apa proses pembinaan projek besar seperti LRT ada kesan iaitu akan menyebabkan jalan lebih sempit, kenderaan perlu diperlahankan dan akan menyebabkan kesesakan yang mungkin lebih serius daripada sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Tinjauan Operasi Bas Diesel Rapid Penang di Padang Kota Lama di sini, hari ini.

Tambah Anthony Loke, pihaknya telah mengarahkan kontraktor supaya sentiasa menyediakan pelan mitigasi dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kerajaan negeri bagi mengurangkan impak kesesakan kepada pengguna jalan raya.

“Saya telah mengarahkan supaya pihak kontraktor sentiasa membuat pelan mitigasi untuk bekerjasama dengan pihak PBT dan kerajaan negeri supaya dapat meminimumkan kesannya kepada kesesakan jalan raya. Ini yang sedang kita laksanakan.

“Langkah mitigasi itu perlu ditambah baik dari semasa ke semasa selaras dengan pertambahan tapak pembinaan.

“Saya mohon supaya orang ramai terutamanya yang berulang-alik di pulau ini, sentiasa bersabar kerana ini adalah kesulitan yang perlu kita lalui untuk melaksanakan projek pembinaan besar seperti LRT,” katanya.

Untuk rekod laluan Mutiara LRT melibatkan jajaran sepanjang 29.5 kilometer dengan 21 stesen di seluruh Pulau Pinang.

Laluan berkenaan akan menghubungkan lokasi-lokasi utama termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas, pusat bandar, Penang Sentral serta beberapa kawasan lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast