Dr. Muhamad Akmal Saleh

MELAKA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh sedia berdepan dengan sebarang persepsi berhubung keputusan besar yang bakal diumumnya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khamis ini walaupun menyedari langkah itu mungkin dianggap ‘tidak terbaik’ oleh sesetengah pihak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, keutamaannya kini adalah bagi memastikan setiap tindakan telah diperhalusi melalui perbincangan bersama akar umbi sayap Pemuda serta dua tunggak utama kepimpinan, iaitu Presiden UMNO dan Ketua Menteri Melaka.

Menurutnya, sebagai Exco Kerajaan Negeri dan wakil rakyat, beliau menghormati Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang memberinya peluang bertanding dalam pilihan raya dan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang melantiknya sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka.

“Walaupun mungkin orang kata itu yang tidak terbaik, tetapi kalau saya dah berbincang dengan Pemuda, Ketua Menteri, Presiden, (dan) itu yang terbaik, maka insya-Allah itulah yang akan kita lakukan.

“Kita tunggulah. Apapun saya percaya, kuasa Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka adalah kuasa dia memilih saya sebagai Exco, maka saya perlu akur dan juga perlu ikut apa yang telah diperkatakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri berkata, sebagai pemimpin yang dilantik, beliau berpegang pada prinsip organisasi dan rasa hormat kepada individu yang memberi kepercayaan kepadanya untuk berkhidmat.

“…dan kuasa presiden parti adalah yang telah memilih saya mewakili parti untuk bertanding di pilihan raya.

“Jadi ini dua insan yang perlu saya dapatkan persetujuan dan untuk saya dapatkan pandangan sebelum saya umum apa-apa di PAU nanti,” katanya.

Mengulas mengenai kesetiaannya kepada parti di tengah-tengah spekulasi yang sedang bertiup kencang, beliau menegaskan komitmennya tidak pernah berganjak.

“Setakat ini, Insya-Allah… dulu, kini dan selamanya (bersama UMNO),” tegasnya ringkas. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast