KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yakin bahawa institusinya masih diterajui oleh pegawai dan anggota yang ikhlas berkhidmat, menjunjung amanah serta mengutamakan kepentingan perkhidmatan berbanding kepentingan diri.
Sebagai sebuah organisasi pertahanan yang berteraskan disiplin, profesionalisme dan integriti, ATM sentiasa bermuhasabah serta komited untuk memperbaiki sistem, tatakelola dan penyampaian perkhidmatan, katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu merujuk kepada senario ATM yang kini berdepan dengan pelbagai cabaran dan isu yang mendapat perhatian masyarakat.
Sehubungan itu, organisasi pertahanan itu berpendirian, siasatan yang dijalankan kini memerlukan masa dan penelitian yang rapi.
Dalam masa yang sama, organisasi pertahanan itu akan terus memberikan kerjasama penuh kepada mana-mana pihak berkuasa atau agensi berkaitan.
“Selaras dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang,” katanya menerusi kenyataan yang sama.
Katanya, institusi tersebut tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku individu yang boleh mencemarkan imej dan kredibiliti organisasi.
“ATM menegaskan bahawa institusi ini kekal komited mempertahankan kedaulatan negara berlandaskan misi dan visi yang telah digariskan,” tambahnya.
ATM berkata, pihaknya sentiasa bermuhasabah serta komited memperbaiki sistem, tatakelola dan penyampaian perkhidmatan.
“Usaha ini dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kesiapsiagaan, keupayaan dan keberkesanan ATM sentiasa berada pada tahap tertinggi demi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara.
Menurutnya, organisasi itu akan terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah institusi pertahanan negara yang profesional, berintegriti dan diyakini demi memastikan keselamatan serta kedaulatan tanah air sentiasa terpelihara.- MalaysiaGazette
















