KUALA LUMPUR – Imej reka bentuk pasport dan MyKad baharu yang tular di dalam media sosial bukan imej rasmi dan tidak dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
KDN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, rekaan visual itu tidak sahih dan tidak menggambarkan reka bentuk sebenar pasport atau MyKad baharu seperti yang didakwa.
Menurutnya, segala maklumat rasmi berkaitan reka bentuk dan ciri-ciri keselamatan pasport dan MyKad akan diumumkan oleh KDN melalui saluran komunikasi rasmi KDN dari semasa ke semasa.
“Orang ramai diingatkan untuk sentiasa mendapatkan maklumat daripada sumber yang sah dan berautoriti bagi memastikan ketepatan serta kesahihan sesuatu maklumat,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan berkaitan perancangan pelaksanaan pasport dan MyKad baharu pada tahun ini.
Sementara itu, kenyataan itu menambah, maklumat rasmi dan perkembangan terkini berkaitan perkara itu boleh diperoleh melalui saluran media rasmi serta laman sesawang KDN, Jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan iaitu Kementerian Dalam Negeri – www.moha.gov.my, Jabatan Imigresen Malaysia – www.imi.gov.my dan Jabatan Pendaftaran Negara – www.jpn.gov.my. – MalaysiaGazette
















