KULAI – Pemandu kereta Singapura yang dikesan menutup dua huruf pada nombor plat kenderaan itu untuk mengisi RON95 dihadapkan ke mahkamah di sini esok.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, tertuduh akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai esok untuk proses pendakwaan.
“Pendakwaan akan dibuat mengikut Seksyen 108(3)(E) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Terdahulu, Seng Lee berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima satu laporan berhubung video tular itu pada pukul 5 petang, 4 Januari lalu.
“Video yang berdurasi seminit 30 saat itu memaparkan sebuah Volkswagen Jetta warna perak yang bernombor pendaftaran dipaparkan LJ8967, sedang mengisi minyak menggunakan RON95 di Stesen Minyak Kulai di Batu 21/4, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di sini.
“Siasatan lanjut terhadap pemilik kenderaan itu telah dijalankan mendapati nombor pendaftaran kereta sudah diubah. Nombor pendaftaran dan pemilik adalah pemegang status penduduk tetap (PR) Singapura,” jelasnya.
Seng Lee sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan saman ke atas pemilik kenderaan jika mendapati nombor pendaftaran kenderaan itu menyalahi peraturan yang ditetapkan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor, Lilis Saslinda Pornomo pula dilaporkan berkata, satu tindakan kes telah diambil ke atas pengusaha stesen minyak berkenaan kerana pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
Beliau dilaporkan berkata, tindakan itu diambil selepas hasil siasatan mendapati pihak pengusaha stesen minyak berkenaan disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan iaitu mengenai larangan penjualan minyak petrol RON 95 kepada kenderaan pendaftaran asing.- MalaysiaGazette
















