KUANTAN – Seorang perunding hartanah kerugian lebih RM600,000 wang simpanan peribadinya akibat terpedaya dengan tawaran keuntungan pelaburan lumayan sehingga 50 peratus.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa yang merupakan lelaki warga emas berusia 71 tahun telah diperdaya suspek melalui tawaran pelaburan di aplikasi WhatsApp.
“Mangsa kemudiannya ditawarkan menyertai pelaburan ‘JMC M Trading Venture’ melalui aplikasi yang diberikan oleh suspek menerusi pautan muat turun.
“Antara 27 Oktober 2025 hingga 27 Disember 2025, mangsa telah membuat sebanyak 16 transaksi ke dalam empat akaun bank berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM622,161,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Yahaya, mangsa ada menerima pulangan awal berjumlah RM140,889 namun wang tersebut telah dilaburkan semula atas arahan suspek.
Katanya, mangsa hanya menyedari telah ditipu selepas diminta oleh suspek untuk menambah modal pelaburan sebanyak RM 1 juta kononnya bagi membolehkan semua keuntungan dikeluarkan.
Justeru, Yahaya menasihati orang ramai agar merujuk dan mendapatkan nasihat awal daripada balai polis berdekatan sebelum membuat sebarang pelaburan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan. – MalaysiaGazette
















