Tangkap layar menunjukkan sekumpulan lelaki bergaduh di tepi Jalan Ho Tiang, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Polis mengesahkan sekumpulan lelaki yang terlibat dalam pergaduhan di Jalan Ho Tiang di sini, seperti tular di media sosial telah didakwa di mahkamah hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Abdul Rozak  Muhammad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.08 pagi, pada Ahad lalu.

Katanya, ekoran itu enam lelaki berumur antara 23 hingga 52 tahun ditangkap di Jalan Madras kira-kira 20 minit kemudian.

“Hasil siasatan mendapati pergaduhan itu berpunca daripada perselisihan faham antara mereka.

“Kesemua suspek telah direman selama tiga hari mulai 11 Januari mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.

“Susulan itu, empat daripada mereka didakwa di mahkamah hari ini mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan iaitu gaduh gempar manakala dua lagi dijadikan saksi pendakwaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau,  kesemua mereka yang didakwa mengaku bersalah dan didenda RM1,000 setiap seorang.

Terdahulu satu rakaman video berdurasi hampir dua minit memaparkan sekumpulan individu bergaduh antara satu sama lain di tepi jalan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast