Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan melakukan gimik pelancaran AI ChatBot Umno selepas hadir Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 14 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO tidak ketinggalan dalam menerapkan aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam gerak kerja parti itu menerusi pelancaran AI Chatbot UMNO yang disempurnakan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

AI Chatbot itu merupakan kesiapsiagaan Penerangan UMNO khususnya dalam menguasai media sosial bagi mendepani pilihan raya umum akan datang.

Ia turut mencerminkan kesediaan UMNO untuk memanfaatkan teknologi AI sebagai medium penerangan, penyampaian maklumat dan mendekati rakyat secara lebih pantas serta berkesan.

Selain itu, AI Chatbot UMNO tersebut juga dibangunkan supaya pengguna dapat mengakses maklumat sahih berkaitan parti itu di samping menepis fitnah oleh pihak lawan.

Perisian AI Chatbot UMNO itu dibangunkan oleh Penerangan UMNO dengan kerjasama Sekolah Patriotik UMNO (SPU) dan boleh dicapai oleh pengguna menerusi Facebook Messenger UMNO Online.

Terdahulu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menyerahkan memorandum persefahaman (MoU) di antara Penerangan UMNO dan SPU bertujuan melaksanakan latihan berkala serta berfasa dalam komunikasi politik, media digital dan penerangan strategik kepada peserta dan alumni SPU.

Selain itu, MoU itu juga bertujuan memanfaatkan teknologi digital dan AI, termasuk pembangunan AI Chatbot UMNO sebagai alat pendidikan dan sokongan penerangan.

Dalam masa sama, MoU itu bertujuan memperkasa peserta dan alumni SPU sebagai agen Komunikasi Digital UMNO, barisan hadapan penyampaian mesej dan dasar parti.

Majlis pertukaran MoU itu berlangsung selepas Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib-naib Presiden UMNO; Ketua-ketua sayap dan barisan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast