KUALA LUMPUR – Dasar baharu penggajian ekspatriat akan dikuatkuasakan pada 1 Jun ini bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan memberi keutamaan kepada bakat tempatan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan, dasar baharu itu akan melibatkan penyelarasan gaji di samping memperkenalkan tempoh penggajian ekspatriat yang sebelum ini tidak mempunyai had yang khusus.
Katanya, Pas Penggajian Kategori I dinaikkan daripada RM10,000 dan ke atas kepada RM20,000 dan ke atas.
Bagi Kategori II pula gaji dinaikkan daripada RM5,000 hingga RM9,999 kepada RM10,000 hingga RM19,999 manakala Kategori III dinaikkan daripada RM3,000 hingga RM4,999 kepada RM5,000 hingga RM9,999.
“Bagaimanapun, kadar baharu itu tidak termasuk sektor pembuatan dan manufacturing related services (MRS) yang ditetapkan pada RM7,000 hingga RM9,999,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, dasar baharu itu turut menetapkan tempoh Pas Penggajian Kategori I ditetapkan kepada 10 tahun.
Manakala tempoh penggajian Pas Penggajian Kategori II ditetapkan kepada 10 tahun dengan pelan penggantian.
Tempoh penggajian Pas Penggajian Kategori III pula ditetapkan kepada 5 tahun dengan pelan penggantian dan semua ekspatriat yang memegang Pas Penggajian semua dibenarkan membawa tanggungan.
Menurut KDN, setiap pembaharuan dilaksanakan secara berperingkat berteraskan kepentingan negara sekaligus untuk menjamin pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“Penetapan tempoh ini bukan sahaja bertujuan untuk meraikan ekspatriat yang mempunyai kepakaran tinggi untuk terus menyumbang kepada negara, malah berfungsi sebagai panduan kepada majikan dalam merancang pelan penggantian secara lebih
tersusun dengan penglibatan tenaga kerja tempatan, katanya lagi.
Mengulas lanjut KDN berkata, sesi temu rapat dan libat urus akan diadakan bersama pemegang taruh termasuk pihak industri, majikan dan agensi berkaitan bagi menjelaskan mekanisme pelaksanaan, implikasi dasar serta memastikan transisi dasar berjalan secara teratur, telus dan tidak menjejaskan kelangsungan operasi perniagaan. -MalaysiaGazette
















