SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan tetap membuat pemantauan rapi bagi memastikan ‘Glamping with Pride’ tidak akan diteruskan seperti mana yang didakwa oleh pihak penganjur.
Pengerusinya, Datuk Salehuddin Saidin berkata pihaknya dan jabatan penguat kuasa yang lain akan bekerjasama memastikan kumpulan berkenaan tidak sekadar membuat kenyataan untuk mengaburkan mata masyarakat.
“Sebenarnya pihak MAIS dengan kerjasama polis, Jabatan Agama Islam (JAIS) sentiasa memantau aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang.
“Apatah lagi bila kita mengetahui bahawa ada kumpulan yang cuba mengadakan program sebegini yang telah pun kita halang dan untuk memastikan walaupun mereka kata membatalkan program tersebut, kita tetap akan memantau, supaya kita tidak dikaburi dengan keputusan mereka,” katanya ketika ditemui di Majlis Sempena Perutusan 2026, di sini hari ini.
Jelasnya, dalam tindakan pemantauan semua jabatan penguatkuasaan di negeri itu komited bersama-sama menghalang program berunsurkan songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak dianjurkan.
“Kalau mereka melakukan sesuatu di luar bidang kuasa kita, ia tertakluk di bidang kawasan PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) umpamanya polis dan pihak lain yang mempunyai kuasa mengambil tindakan berdasarkan undang-undang yang relevan.
“Jadi, ia bukanlah hanya MAIS dan JAIS (Jabatan Agama Islam)sahaja yang bertanggungjawab banyak jabatan lain juga bersama-sama bertanggungjawab memastikan gejala seperti ini tidak berlaku di Selangor,” tambahnya.
Terkini dilaporkan, organisasi Jejaka yang menganjurkan ‘Glamping with Pride’ mengambil keputusan tidak meneruskan program atas faktor keselamatan.
Jejaka mendakwa, pihaknya menerima ugutan bunuh dan ancaman keganasan di media sosial.
Jejaka memaklumkan, pemilik lokasi aktiviti itu juga telah membatalkan tempahan atas faktor keselamatan.
Sebagai rekod, pihak penganjur sebelum ini merancang mengadakan ‘Glamping With Pride’ selama dua hari bermula Sabtu ini di Hulu Langat.
Kemudian pelbagai pihak bersuara membantah program yang disifatkan cuba menormalisasikan budaya songsang itu.
Selain, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menentang dan membantah keras terhadap sebarang aktiviti songsang yang dianjurkan dalam Negeri Selangor.-MalaysiaGazette
















