Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

 

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man disifatkan individu paling layak untuk dicalonkan parti itu sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Menurut Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad, ia berdasarkan beberapa faktor antaranya Tuan Ibrahim merupakan orang kedua paling tinggi jawatannya di dalam Pas.

Selain itu, menurut menantu kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkenaan, Tuan Ibrahim juga berpengalaman berada di dalam Kabinet sebagai bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA).

“Beliau adalah ulama. Walaupun ia datang nombor 3 tetapi syarat ketiga ini paling utama, iaitu mesti ulama atau lebih tepat mesti faqih kerana syarat ini hukum yang sebut secara ijmak mazhab,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, dalam pandangan berbeza, Ketua Pemuda Pas Dungun, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi berkata, bukan sesuatu yang pelik sekiranya Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dicalonkan sebagai Pengerusi PN.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura berkenaan, pencalonan Ahmad Samsuri bukan soal individu atau mengenai parti politik mana yang mahu mendominasi, sebaliknya ia berkenaan keperluan strategik PN untuk bergerak ke hadapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Tambahnya, dalam keadaan PN berdepan cabaran dalaman dan landskap politik yang semakin kompleks, gabungan itu memerlukan seorang pengerusi yang mampu menyatukan, bukan menambah ketegangan.

Jelasnya, peranan Pengerusi PN juga bukan untuk menguasai parti komponen, tetapi menyelaras, menenangkan dan memperkukuh kerjasama.

“Watak Dr. Sam yang sederhana, profesional dan tidak konfrontasional menjadikan beliau diterima merentasi Pas, Bersatu dan rakan komponen lain,” katanya.

Dalam masa sama, tambah beliau, rekod kepimpinan Ahmad Samsuri jelas mentadbir dengan stabil, berimej bersih dan mendapat mandat penuh rakyat, sehingga Terengganu menjadi satu-satunya negeri yang menyaksikan kemenangan bersih tanpa pembangkang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast