KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terus memperkukuh pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dalam usaha melahirkan graduan perakaunan yang bukan sahaja mahir dari segi teknikal, tetapi juga beretika serta bertanggungjawab terhadap masyarakat dan alam sekitar.
Komitmen itu dizahirkan menerusi penganjuran program ‘Accountants Back to Nature @ UMK-TRaCe’ melibatkan 59 pelajar Tahun Tiga Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Pulau Banding baru-baru ini.
Pengarahnya, Najmuddin Mohd Johari berkata, program berkenaan dirangka bagi mendedahkan pelajar kepada peranan sebenar akauntan sebagai penasihat perniagaan yang menyokong kelestarian dan penciptaan nilai jangka panjang.
“Program ini membuka ruang kepada pelajar untuk memahami bahawa profesion perakaunan tidak terhad kepada angka semata-mata, sebaliknya turut melibatkan tanggungjawab sosial, alam sekitar serta sensitiviti komuniti,” katanya dalam kenyataan.
Sambung beliau, penganjuran yang diurus sepenuhnya oleh penuntut dengan bimbingan fakulti itu turut menguji keupayaan peserta merancang, mengurus dan melaksanakan program berskala besar secara profesional.
Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK serta dianjurkan bersama Pulau Banding Foundation, selari dengan usaha memperkukuh kolaborasi antara universiti dan rakan strategik.
Ia berlangsung di UMK Tropical Rainforest Research Centre (UMK-TRaCe), yang berfungsi sebagai pusat penyelidikan hutan hujan tropika serta platform pembelajaran dan ekopelancongan sekaligus memberi pendedahan langsung kepada realiti operasi sesebuah pusat penyelidikan.
Najmuddin berkata, selain pembelajaran akademik, pelajar turut terlibat dalam aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama komuniti Orang Asli di Kampung Klewang, termasuk aktiviti sukan, sukaneka serta sumbangan barangan keperluan asas.

Antara pengisian utama ialah Program Klinik Kebersihan Mulut, melibatkan pengagihan berus gigi dan ubat gigi serta pendedahan amalan kebersihan mulut kepada kanak-kanak dan remaja setempat, yang menurut Najmuddin, bertujuan menyemai nilai empati dalam kalangan pelajar.
“Interaksi secara langsung dengan komuniti memberi kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan memahami konteks sosial dalam amalan profesional mereka pada masa hadapan,” ujarnya.
Selain itu, penuntut turut didedahkan kepada aspek alam sekitar melalui aktiviti pengenalan biodiversiti hutan pada waktu malam serta eko-sukan seperti bamboo rafting, sejajar dengan tema program yang menghubungkan profesion perakaunan dengan kelestarian alam.
“Program ini mencerminkan pendekatan menyeluruh UMK dalam membentuk graduan perakaunan yang holistik, berdaya saing serta bersedia menyumbang kepada pembangunan mampan masyarakat dan negara,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















