KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Labuan menyahut cabaran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang `menghadiahkan’ kerusi Parlimen Labuan kepada bahagian itu untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Ketuanya, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata, beliau terkejut dan terharu dengan pengumuman yang dibuat Ahmad Zahid pada sesi Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menghargai kepercayaan itu yang disifatkan bukan sekadar kata-kata, tetapi satu amanah besar dan tanggungjawab perjuangan yang wajib digalas dengan penuh disiplin dan kesungguhan.
“Insya-Allah, UMNO Labuan tidak akan mengecewakan YAB Presiden dan kepimpinan parti.
“Kami akan menyahut cabaran ini dengan sepenuh kekuatan, menyatukan jentera, memperkukuh akar umbi dan bekerja tanpa mengenal penat lelah,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Mohd Raffi berkata, UMNO Labuan bertekad menghadiahkan semula Kerusi Parlimen Labuan kepada Barisan Nasional (BN) pada PRU-16 sebagai bukti kesetiaan, keberanian dan kebangkitan semula perjuangan UMNO.
Pada PRU-15, kerusi Parlimen Labuan dimenangi calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Suhaili Abd Rahman dengan majoriti 708 undi dalam persaingan enam penjuru. – MalaysiaGazette
















