Kerk Chee Yee

MELAKA – Setiausaha Publisiti DAP Melaka, Kerk Chee Yee menegaskan tumpuan Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh untuk menentang DAP habis-habisan adalah tersasar kerana DAP bukan masalah terbesar rakyat ketika ini.

Menurutnya, fokus Ketua Pemuda UMNO itu yang mahu ‘berperang’ dengan DAP mungkin hanya relevan buat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkenaan secara peribadi.

“Kami menghormati hasrat Dr Akmal yang mahu terus ‘menentang DAP’ (tapi) DAP bukan masalah terbesar bagi rakyat Malaysia hari ini, mungkin hanya bagi Dr. Akmal.

“Tapi kami faham, setiap orang ada hobi masing-masing. Selamat maju jaya kepada Dr Akmal,” katanya dalam satu kenyataan menerusi hantaran di Facebook (FB) rasminya hari ini.

Kerk yang juga ADUN Ayer Keroh berkata, Dr. Akmal sepatutnya menggunakan kedudukan dan pengaruhnya untuk menangani isu-isu yang lebih mendesak bagi kelangsungan hidup rakyat berbanding menyerang rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kami harap beliau juga ada masa untuk menentang masalah yang lebih relevan kepada rakyat seperti membanteras rasuah, menentang ekstremisme, atau meningkatkan ekonomi dan daya saing dan bukan hanya DAP semata-mata,” katanya.

Terdahulu, Dr Akmal mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkuat kuasa minggu hadapan.

Keputusan itu diumumkan ketika menyampaikan ucapan dasar perhimpunan sayap Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast