JOHOR BAHRU – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor telah mengeluarkan sebanyak 580 syor kompaun berjumlah RM1.16 juta atas pelbagai kesalahan melibatkan premis dalam operasi di sepanjang tahun lalu.
Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, dalam tempoh tersebut pihaknya melaksanakan 13 siri operasi penguatkuasaan melibatkan Ops Lembangan, Ops Gempur dan Ops Air Raya.
“Hasil pemeriksaan ke atas 590 premis merangkumi kawasan industri, premis berlesen dan loji kumbahan, JAS Johor telah mengeluarkan 530 Arahan Lapangan, 200 Notis Arahan serta melaksanakan 24 Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) terhadap peralatan yang menyebabkan pencemaran.
“Sebanyak 580 syor kompaun berjumlah RM1.16 juta telah dikenakan ke atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (PPKAS),” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, langkah itu sebagai langkah tegas membanteras aktiviti yang menjejaskan kualiti alam sekitar dan kesihatan awam. – MalaysiaGazette
















