Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara, Datuk Mohamad Alamin ketika melancarkan logo baharu Kelab UMNO Luar Negara pada Perjumpaan Khas bersama Perwakilan Pelajar Kelab UMNO Luar Negara dan Majlis Pelancaran Logo Baharu Kelab UMNO Luar Negara bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Restoran Riverside, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SADIQ SANI, 15 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO menghormati keputusan Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang mahu melepaskan jawatan sebagai Exco Melaka.

Dalam masa yang sama, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi optimis ia akan memberi Dr Akmal peluang yang lebih untuk turun ke akar umbi dan menggerakkan jentera Pemuda UMNO secara aktif selepas ini.

“Mungkin dengan itu beliau mempunyai masa dan ruang yang cukup untuk turun ke akar umbi terutamanya ke bahagian-bahagian kerana kita ada 161 bahagian Pemuda dan mudah-mudahan itu peluang untuk beliau turun ke bawah menggerakkan jentera Pemuda.

“Itu hak peribadi beliau. Beliau tahu apa yang dilakukannya,” katanya ketika ditemui pada Perjumpaan Khas bersama Perwakilan Pelajar Kelab UMNO Luar Negara dan Majlis Pelancaran Logo Baharu Kelab UMNO Luar Negara di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid tidak melihat tindakan berkenaan merupakan tekanan kepada UMNO kerana yakin Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh tahu apa yang akan dilakukannya selepas ini.

Terdahulu Ahmad Zahid berkata, Ketua Pemuda itu telah memaklumkan tentang keputusannya itu sebelum mengumumkannya dalam persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 hari ini.

Dr Akmal hari ini mengejutkan pentas persidangan PAU 2025 apabila mengumumkan meletakkan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkuat kuasa minggu depan.

Bagaimanapun, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkenaan, beliau akan tetap mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO kerana mahu menentang DAP habis-habisan.

Menurutnya, keputusan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO itu bagi membuktikan beliau tidak sama sekali akan lari daripada perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Letak jawatan Exco, Dr Akmal kekal Ketua Pemuda UMNO untuk menentang DAP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast