KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat sebagai pemimpin yang berjiwa besar kerana menyuarakan hasrat mewujudkan Penyatuan Rumah Bangsa.
Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abd Aziz berkata, tidak mudah untuk membawa kembali pihak-pihak dan individu yang pernah meninggalkan parti itu sebelum ini kembali semula.
Namun, katanya, presiden parti itu sanggup mengenepikan sengketa demi penyatuan Melayu Islam.
“Selain membuka untuk orang lain masuk, bagi saya presiden berjiwa besar, melupakan apa saja sengketa atau perselisihan faham. Jadi beliau mengalu-alukan yang lain untuk datang. Bukan senang untuk seorang pemimpin melakukannya.
“Kalau ini berlaku, tiada motif lain asalnya UMNO lebih 70 tahun yang wujud ini UMNOlah satu-satunya parti Melayu.
Jadi yang dulu tersilap langkah dan sebagainya (boleh) menawarkan diri,” katanya Ketika ditemui di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, di Pusat Dagangan Dunia hari ini.
Menyifatkan cadangan Ahmad Zahid sebagai kejutan besar pada hari ini, namun Johan berkata, daripada sudut positif, ia dilakukan demi memastikan Melayu Islam dalam negara tidak berpecah.
“Rumah Bangsa ini memberi banyak makna daripada peringkat negeri sampai ke cawangan akar umbi. Sebab Presiden mengajak kita mengukuhkan rumah kita ini yang asalnya semua satu, parti-parti pecahan yang ada sekarang kebanyakannya semua adalah daripada UMNO asalnya,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















