Nurman mengetuai kerja-kerja eksplorasi menjejak monumen dan bukti fizikal tinggalan Kesultanan Melayu Melaka iaitu 'kolam diraja' berusia ratusan tahun lampau di Kem Terendak, Melaka.

MELAKA – Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) sedang giat menjejaki monumen dan bukti fizikal tinggalan Kesultanan Melayu Melaka iaitu ‘kolam diraja’ berusia ratusan tahun lampau di Kem Terendak, di sini.

Ia selepas lokasi pemandian Sultan Melaka itu direkodkan seperti dalam catatan Manuel Godinho de Eredia, penulis Portugis abad ke-16 dalam bukunya, Description of Malacca.

Buku berkenaan mencatatkan kolam di kawasan Tanjung Panchor (Kem Terendak) yang pernah digunakan Sultan Melaka suatu ketika dahulu.

Pengurus Besar Perzim, Erne Hamsah berkata, Eksplorasi Menjejaki Monumen Kesultanan Melayu Melaka itu bermula 12 Januari lalu bagi mengenal pasti kawasan yang berpotensi menepati ciri-ciri fizikal seperti yang digambarkan dalam catatan sejarah berkenaan.

“Eksplorasi ini ditumpukan bagi mengenal pasti kawasan-kawasan tertentu yang mungkin menepati ciri-ciri fizikal seperti yang dicatatkan D’Eredia.

“Perzim berharap akan menemukan sesuatu yang boleh dikaitkan dengan warisan Kesultanan Melayu Melaka dan kawasan yang dikenal pasti akan diteliti secara terperinci dengan kaedah penyelidikan dan dokumentasi yang sistematik,” katanya kepada pemberita.

Eksplorasi Menjejaki Monumen Kesultanan Melayu Melaka itu bermula 12 Januari lalu di Kem Terendak, Melaka.

Pasukan eksplorasi melibatkan kira-kira 50 orang itu diketuai oleh Kurator Bahagian Pemuziuman Perzim, Nurman Mohd. Baroldin.

Mengulas lanjut, Erne berkata, usaha itu turut mendapat sokongan kepakaran akademik daripada Profesor Madya Dr. Zuliskandar Ramli dari Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Dr. Hasanuddin Yusof dari Maktab Penyelidikan Tamadun Alam Melayu dan Islam (MAPTIM).

Kerjasama juga melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Markas Garison Terendak, Muzium Tentera Darat, Unit Forensik ATM dan Unit Sejarah ATM, selain kumpulan penyelidik dari UKM dan MAPTIM.

“Bagaimanapun, sebarang penemuan yang diperoleh tidak akan terus dikaitkan dengan warisan Kesultanan Melayu Melaka tanpa melalui proses pengesahan yang ketat.

“Kami tidak mahu membuat sebarang kesimpulan awal tanpa bukti yang kukuh dan sahih, namun kami berharap usaha ini dapat menemukan petunjuk penting yang mampu mengukuhkan naratif sejarah Kesultanan Melayu Melaka,” tegasnya lagi.

Jelasnya, eksplorasi itu juga sebagai langkah proaktif Perzim dalam menyingkap kembali landskap sejarah Melaka dengan menggabungkan sumber bertulis Barat dan penyelidikan lapangan tempatan.

“Ini bagi memastikan warisan negeri terus dipelihara berasaskan fakta dan bukti fizikal, ” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast