Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 17 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – Puteri UMNO berbesar hati dan membuka pintu untuk menerima kembali bekas ahli-ahli serta pemimpin pergerakan itu yang pernah meninggalkan perjuangan parti tersebut.

Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, pergerakan itu percaya negara memerlukan proses penyatuan semula yang jujur dan matang meskipun menyedari ada ahli-ahli yang berat hati untuk bersetuju.

Namun dalam penyatuan semula bangsa itu, ada beberapa perkara yang perlu diambil kira yang mana UMNO boleh bersama peringkat Pusat tetapi tidak boleh menggunakan pendekatan yang sama di negeri.

Katanya, ia selaras dengan apa yang disebut sebagai interaksi kuasa hari ini.

“Selain itu, naratif parti mesti selari dengan pelaksanaan. Puteri berpandangan bahawa naratif yang dibina tidak boleh bercanggah dengan tindakan di lapangan. Kita bina naratif baru dan betulkan kembali persepsi.

“Jika kita membawa naratif penyatuan dan perdamaian, maka pendekatan politik yang dilaksana juga mesti mencerminkan semangat tersebut bukan sebaliknya,” katanya ketika menggulung perbahasan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sementara itu, kata beliau, Puteri berpandangan perjuangan UMNO tidak boleh bersifat pasif dan parti tersebut boleh berkawan serta bekerjasama dengan sesiapa sahaja.

Namun, tegas beliau, UMNO perlu memastikan parti itu tidak ditelan, tidak hilang dan tidak dipinggirkan.

“Walaupun hari ini kita berada dalam kerajaan, apabila tiba pilihan raya negeri (PRN) nanti, UMNO mesti bersedia untuk berjalan sendiri.

“Ambillah pengajaran daripada insiden di Sabah. Jadikan PRN sebagai model jelas, berprinsip dan berpaksikan kekuatan sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast