Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hadir pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SADIQ SANI, 15 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – UMNO berada pada fasa kritikal untuk melakukan penjenamaan semula (rebranding) supaya parti itu boleh terus ditampilkan sebagai teras kestabilan nasional.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, rebranding itu juga bagi memastikan UMNO menjadi parti yang mampu mengimbangi idealisme dengan realpolitik serta arkitek konsensus, bukan sebagai pencetus konflik.

Menurut beliau, dalam landskap politik yang terbelah ketika ini, tawaran nilai UMNO–BN tidak lagi boleh bergantung kepada kekuatan sejarah semata-mata, tetapi mesti berpaksikan keupayaan mengurus gabungan secara stabil, berprinsip dan bertanggungjawab.

Sehubungan itu, jelasnya, politik gabungan tidak lagi harus dilihat sebagai kelemahan atau pengorbanan prinsip, sebaliknya sebagai nilai tambah strategik yang mencerminkan kematangan dan kebolehan UMNO–BN mengemudi negara dalam realiti politik baharu.

“Dalam konteks ini, tawaran nilai UMNO mesti menjawab persoalan asas dengan jelas iaitu UMNO bukan sekadar mempertahankan Melayu, tetapi memperkasakan Melayu untuk menghadapi masa depan,” katanya sebagai reaksi kepada ucapan dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025.

Sementara itu, Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN berkata, rebranding tanpa reformasi dalaman akan bersifat kosmetik dan akhirnya gagal.

Sebaliknya, menurut beliau, keberanian UMNO mengurus realiti dalaman menjadi isyarat kepimpinan yang penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

Maka, ujarnya, tawaran nilai baharu UMNO–BN ialah sebuah parti yang stabil dalam gabungan, jelas dalam identiti Melayu progresif dan berani membetulkan dirinya demi kepentingan rakyat.

Rebranding UMNO–BN bukan sekadar soal imej atau persepsi, tetapi penjajaran semula antara kehendak rakyat dengan gerak kerja parti.

“Apabila penjajaran ini berlaku, UMNO–BN bukan sahaja kembali relevan, malah muncul semula sebagai pilihan yang rasional, berfungsi dan diyakini dalam politik Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast