KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menimbangkan cadangan kolaborasi agung oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi setelah mendapat input yang lebih jelas mengenainya.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu mengambil sikap terbuka berhubung cadangan itu yang bertujuan menyatukan orang Melayu merentas parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berteraskan kepentingan Melayu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, parti itu tidak pernah memberikan mandat secara rasmi kepada mana-mana pimpinan parti untuk berunding dengan UMNO berhubung agenda tersebut.
Malah, jelas beliau, perkara itu juga tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
“Saya ingin menegaskan bahawa sebarang perbincangan rentas parti yang melibatkan sebarang bentuk kerjasama antara Bersatu dan UMNO hendaklah diadakan mengikut saluran rasmi parti dengan dihadiri oleh kepimpinan tertinggi kedua-dua parti.
“Perbincangan hendaklah diadakan secara telus dengan mengambil kira semua faktor termasuk pandangan rakan-rakan parti anggota Perikatan Nasional dan kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid mengesahkan telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Pas dan Bersatu serta beberapa parti politik Melayu lain berhubung agenda penyatuan orang Melayu menerusi inisiatif yang disebut kolaborasi agung.
Bagaimanapun, pertemuan yang disifatkan secara tidak langsung itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang keputusan muktamad.
Terdahulu, Ahmad Zahid ketika menggulung ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 semalam menyatakan hasrat untuk membentuk grand collaboration atau kolaborasi agung bagi menyatukan parti politik Melayu dan Islam di negara ini. – MalaysiaGazette
















