ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki ditahan kerana menumbuk dan membaling rim motosikal kepada seorang anggota polisĀ bertugas sehingga cedera di Balai Polis Mutiara Rini di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, pusat kawalan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menerima maklumat kejadian tersebut pukul 3.40 petang.
“Polis menerima maklumat dari kaunter aduan Balai Polis Mutiara Rini, datang seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun dalam keadaan agresif bertindak membaling rim motosikal dan menumbuk seorang anggota yang bertugas.
“Suspek kemudian berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan dengan pihak polis. Akibat kejadian tersebut anggota yang diserang mengalami kecederaan lebam di bahagian mata kanan dan bahu sertai bengkak bahagian kaki kiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah.
Jelasnya, suspek yang kelihatan seperti kurang siuman telah dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk pemeriksaan lanjut.
Kata beliau, daripada tangkapan tersebut polis merampas barang-barang seperti beg silang yang mengandungi sebilah pisau dan satu rim motosikal.
Siasatan katanya, dijalankan bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Pasa masa sama, beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu yang boleh mengganggu siasatan.
Tambahnya, sebarang maklumat berkenaan kegiatan jenayah boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau pusat kawalan daerah Iskandar Puteri 07-5113622 atau hotline 5114486.- MalaysiaGazette
















