Penguat Kuasa JAINJ menangkap pasangan bekas suami isteri berkhalwat di sebuah hotel di bandar Kluang, semalam.

KLUANG – Pasangan suami isteri yang sudah bercerai kira-kira empat tahun lalu tetapi mendakwa masih sayang dan rindu antara satu sama lain dicekup berkhalwat di sebuah hotel di sini semalam.

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam satu kenyataan memberitahu, pasangan berkenaan ditahan penguat kuasa dalam satu operasi cegah maksiat pada pukul 1.15 pagi.

“Sepasukan Penguat Kuasa JAINJ tiba di lokasi dan mengetuk pintu bilik hotel berkenaan, namun pintu hanya dibuka selepas enam hingga tujuh minit walaupun pendingin hawa bilik didapati terpasang.

“Pintu bilik akhirnya dibuka oleh seorang lelaki berpakaian seluar panjang dan kemeja-T. Hasil pemeriksaan mendapati seorang wanita turut berada dalam bilik berkenaan.

“Ketika ditanya, pasangan tersebut mendakwa mereka adalah suami isteri, namun gagal mengemukakan sebarang dokumen atau surat nikah bagi mengesahkan status perkahwinan mereka,” maklum kenyataan berkenaan.

JAINJ memaklumkan, siasatan lanjut mendapati kedua-duanya kelihatan gelabah dan memberikan jawapan yang meragukan.

“Wanita berkenaan yang menetap serta bekerja di Kluang turut gagal menjelaskan alasan munasabah mengapa bermalam di hotel berkenaan.

“Penguat kuasa turut menawarkan untuk ke rumah wanita itu bagi mendapatkan pengesahan perkahwinan atau berjumpa dengan ibu bapanya, namun cadangan tersebut ditolak.”

Berikutan kegagalan mengemukakan bukti sah serta wujudnya keraguan hasil soal siasat, pasangan itu ditahan dan dibawa ke balai polis serta Pejabat Penguat Kuasa JAINJ untuk tindakan lanjut.

Jelas jabatan berkenaan, siasatan mendapati pasangan itu sebenarnya pernah berkahwin, namun telah bercerai kira-kira tiga hingga empat tahun lalu.

“Semakan dalam sistem perkahwinan berkomputer mengesahkan tarikh pernikahan dan tarikh perceraian mereka.

“Difahamkan, selepas perceraian, lelaki tersebut bekerja di negeri lain manakala kedua-duanya tidak berkahwin semula. Walaupun begitu, mereka kembali berhubung dan menyatakan hasrat untuk bernikah semula,” menurut kenyataan tersebut.

Penguat kuasa merekodkan keterangan mereka yang akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast