Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Penghargaan Kepengerusian Asean-Malaysia 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS). Foto MOHD ADZLAN, 19 JANUARI 2026.

SERDANG – Malaysia berjaya membuktikan keupayaannya sebagai tuan rumah dan pemudah cara berwibawa peringkat antarabangsa menerusi kejayaan penganjuran pelbagai sidang di Kemuncak ASEAN tahun lalu hasil kerjasama padu seluruh jentera kerajaan, sektor swasta dan sukarelawan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan tersebut bukan hanya bergantung kepada kepimpinan politik malah didukung oleh keluarga besar penjawat awam yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan penganjuran di peringkat negara-negara ASEAN.

“Dari lubuk hati saya, saya percaya rakan-rakan dalam kalangan kepimpinan menteri yang hadir pada hari ini turut merasai keterujaan dan kesyukuran.

“Alhamdulillah. Kita mempunyai pasukan tugas berbilang bangsa, para sukarelawan, sektor kerajaan dan swasta serta pelbagai agensi yang bekerja dengan penuh keikhlasan, bertungkus-lumus mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa,” katanya ketika berucap sempena majlis penghargaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Sedunia (MAEPS) hari ini.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Kelihatan juga jemaah menteri antaranya Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menurut Anwar lagi, kejayaan itu turut terserlah melalui pengurusan kebersihan bandar, persembahan seni dan budaya, serta kerjasama erat antara kementerian, jabatan dan agensi keselamatan termasuk PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang memastikan tiada sebarang insiden sepanjang penganjuran.

“Selesai taklimat jam 11.30 malam, menjelang tengah malam pasukan keselamatan masih bersiap siaga… pegawai-pegawai dari pelbagai kementerian bekerja tanpa mengira masa, tanpa keluhan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan agar kepentingan kerjasama dan muafakat tidak dipandang remeh kerana perpaduan merupakan kekuatan utama negara tanpa terikat kepada sentimen jabatan, negeri atau kaum.

“Kita bekerja sebagai satu pasukan… bersama semua kaum, semua jabatan, menumpukan perhatian mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara yang disegani di rantau ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan, kehadiran tokoh-tokoh besar dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Perdana Menteri China, Li Qiang, pemimpin Asia, negara Arab dan Afrika dan Amerika Latin membuktikan keyakinan antarabangsa terhadap Malaysia.

“Percayalah, tidak ada seorang pun tetamu luar yang pulang tanpa terkesan dengan kehebatan Malaysia daripada kecekapan persidangan hinggalah layanan mesra rakyat,” katanya sambil menyifatkan pencapaian itu antara pengurusan terbaik pernah dicapai Malaysia di peringkat global.

Oktober lalu, Perdana Menteri ketika mengakhiri Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 berkata Malaysia telah melaksanakan tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan semangat perpaduan, kesabaran dan kepimpinan yang mantap.

Anwar berkata, kejayaan blok serantau itu bukan sahaja diukur menerusi pemeteraian dokumen sebaliknya disiplin untuk bertindak dengan sabar, membangun mengikut rentaknya sendiri dan kekal tenang dalam ketidaktentuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast