KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memasukkan (key in) butiran maklumat seorang penumpang yang memasuki Malaysia serta pasport di dalam sistem MyIMMs tanpa kehadiran penumpang berkenaan di kaunter semasa urusan dijalankan.
EAIC dalam satu kenyataan memaklumkan, dapatan itu diperoleh dalam siasatan berhubung dakwaan aktiviti pasport terbang atau flying passport di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 2 Jun tahun lalu.
Menurutnya, tindakan pegawai tersebut tidak mematuhi garis panduan dalam Sistem Pengurusan Kualiti Jabatan Imigresen Malaysia, Prosedur/ Garis Panduan JIM yang telah ditetapkan oleh Ketua Pengarah Imigresen.
“EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib JIM dengan syor agar tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai yang terbabit atas kesalahan tatatertib di bawah perenggan 4(2)(f) kerana berkelakuan tidak jujur atau tidak amanah.
“Serta perenggan 4(2)(g) iaitu tidak bertanggungjawab sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya. – MalaysiaGazette
















