Pelajar UM menunjukkan kaedah proses grafting tumbuhan.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memperkukuh peranannya sebagai penggerak utama dalam memacu kesedaran dan inovasi hijau berasaskan komuniti sempena Sambutan Hari Tanah Sedunia yang disambut setiap tahun pada 5 Disember.

Bertemakan “Tanah Sihat untuk Bandar Sejahtera”, sambutan tahun ini menekankan kepentingan tanah bandar sebagai
asas utama pembangunan lestari dan kesejahteraan komuniti bandar.

Program “Inovasi Teknologi Hijau Pemangkin Tanah Sihat, Bandar Sejahtera” yang berlangsung di Kebun Komuniti Sejahtera Rasah Kemayan, Negeri Sembilan ini berjaya menarik penyertaan lebih 30 orang peserta yang terdiri daripada komuniti setempat, pelajar universiti, wakil industri, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pelajar dan sukarelawan mempersiapkan tanah kawasan tapak semaian kebun komuniti.

Keunikan program ini terletak pada pendekatan perkongsian ilmu dua hala yang menggabungkan penerangan saintifik, pembangunan inovasi oleh pelajar Universiti Malaya, serta aktiviti hands-on secara langsung di kebun komuniti.

Para peserta diberi pendedahan kepada aplikasi sebenar teknologi pertanian hijau yang boleh dilaksanakan di persekitaran
bandar menggunakan sumber tempatan dan kos yang berpatutan.

Antara inovasi yang diperkenalkan termasuk penghasilan kompos daripada sisa organik bagi meningkatkan kesuburan tanah, mengurangkan sisa makanan ke tapak pelupusan serta menurunkan pelepasan gas rumah hijau.

Turut dikongsikan ialah teknologi penghasilan racun perosak organik, penggunaan baja mesra alam, sistem penjimatan air, serta teknik pembiakan tanaman secara bersepadu.

Pelajar UM memberi penerangan kepada penduduk semasa program.

Demonstrasi masakan berasaskan Bayam Brazil turut diadakan bagi menonjolkan potensi tanaman bandar sebagai sumber pemakanan berkhasiat dan lestari.

Pengerusi Kebun Komuniti Sejahtera Rasah Kemayan, Zarina melahirkan rasa bangga apabila Universiti Malaya memperkenalkan inovasi pertanian hijau yang praktikal dan boleh terus diaplikasikan di kebun tersebut.

Menurut beliau, kebun ini bukan sahaja membekalkan hasil tanaman yang sihat kepada penduduk setempat, malah menjadi ruang pembelajaran dan interaksi sosial yang positif.

Sementara itu, Dr. Rokiah Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Biosense berkata, tanah yang sihat merupakan asas kepada ekosistem bandar yang berfungsi kerana ia menyokong pengeluaran makanan, menyerap air hujan, menapis pencemaran, menyimpan karbon serta menyediakan habitat kepada mikroorganisma penting.

Pensyarah Universiti Malaya merangkap Presiden Persatuan Sains Tanah Malaysia, Prof. Madya Dr. Rosazlin Abdullah berkata, program ini memberi pendedahan bermakna kepada pelajar universiti untuk melihat bagaimana ilmu di bilik kuliah diaplikasikan dalam situasi sebenar bersama komuniti.

Beliau menekankan pembangunan bandar perlu mengiktiraf tanah sebagai sumber hidup, dan penglibatan pelbagai pihak mencerminkan komitmen bersama terhadap keselamatan makanan dan pembangunan bandar lestari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast