LONDON – Anak sulung kepada selebriti dunia, David Beckham dan Victoria mengumumkan memutuskan hubungan dengan keluarganya.
Menerusi penjelasan di Instagram, Brooklyn berkata, keputusan itu dibuat susulan tidak lagi tahan dengan pelbagai dakwaan ibu bapanya.
“Saya berdiam diri selama bertahun-tahun dan berusaha sedaya upaya untuk memastikan perkara ini kekal bersifat peribadi.
“Namun malangnya, ibu bapa saya bersama pasukan mereka terus membawa isu ini kepada media menyebabkan saya tidak mempunyai pilihan selain bersuara bagi mempertahankan diri dan mendedahkan kebenaran mengenai sebahagian daripada pembohongan yang diterbitkan,” tulisnya.
Jelasnya, dia nekad dengan keputusan berkenaan dan tidak akan berdamai dengan keluarganya.
“Saya tidak mahu berdamai semula dengan keluarga saya. Saya tidak dikawal oleh sesiapa sebaliknya buat pertama kali dalam hidup, saya tampil mempertahankan diri sendiri,” katanya.
Beliau juga menyifatkan paparan media sosial hanyalah lakonan ibu bapanya semata-mata.
Lebih buruk, Brooklyn mendakwa ibu bapanya cuba merosakkan hubungannya bersama isteri, Nicola sejak awal perkahwinan mereka.
Malah, katanya, ibu bapanya pernah memintanya menandatangani perjanjian sebelum berkahwin untuk melepaskan hak ke atas Namanya.
“Ibu saya membatalkan penyediaan gaun perkahwinan Nicola pada saat-saat akhir walaupun Nicola begitu teruja untuk mengenakan rekaan terbabit sekali gus memaksanya mencari gaun baharu dalam keadaan tergesa-gesa.
“Beberapa minggu sebelum hari perkahwinan, ibu bapa saya berulang kali menekan dan cuba menyogok saya supaya menandatangani perjanjian melepaskan hak ke atas nama saya yang akan memberi kesan kepada saya, isteri serta anak-anak kami pada masa hadapan.
“Mereka berkeras mahu saya menandatangani perjanjian itu sebelum tarikh perkahwinan kerana terma perjanjian akan berkuat kuasa sebaik sahaja ditandatangani,” tambahnya.
Terdahulu, konflik hubungan keluarga Beckham itu dilihat memuncak apabila Brooklyn anak sulung daripada empat beradik itu meminta ibu bapanya tidak menghubunginya.
Dilaporkan sebelum ini, Brooklyn hanya mahu dihubungi melalui peguamnya.
Brooklyn turut meminta ibu bapanya tidak menyebut namanya kepada media.
Untuk rekod, ketegangan antara Brooklyn, isterinya dengan keluarganya dipercayai tercetus sejak persiapan perkahwinan mereka tiga tahun lalu. – Agensi
















