MERSING – Seorang janda beri alasan seorang tukang paip datang membaiki tangki air rosak semasa ditangkap khalwat di sebuah kampung di sini malam tadi.
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya melakukan serbuan dalam operasi cegah maksiat kira-kira pada pukul 1 pagi selepas mendapat aduan orang awam.
Rumah wanita itu adalah rumah teres kampung yang ada jiran bersebelahan dan berhampiran rumah lain.
Di luar rumah kelihatan terang dengan satu lampu menyala dan di dalam rumah agak samar-samar.
“Penguat kuasa mengetuk pintu sambil memanggil dan beri salam. Dua penguat kuasa ditugaskan untuk menjaga pintu belakang bagi menghalang mana-mana individu melarikan diri.
“Pintu depan dibuka lima minit kemudian oleh seorang wanita yang berpakaian seksi iaitu baju tidur nipis seperti jaring sekerat peha dan tali halus di bahu,” maklum kenyataan tersebut hari ini.
JAINJ memaklumkan, penguat kuasa memperkenalkan diri dan masuk ke rumah untuk membuat pemeriksaan dan ditemui seorang lelaki berseluar pendek tetapi tidak memakai baju.
Penguat kuasa menegur wanita berkenaan supaya berpakaian lebih sopan manakala lelaki tersebut memakai baju.
Menurut JAINJ, rumah berkenaan mempunyai tiga bilik dan penguat kuasa memeriksa bilik utama yang dipercayai bilik wanita dan menemukan pakaian janda berkenaan dalam almari.
“Keadaan katil sudah berkecah dengan selimut bergelimpangan, cadar dan bantal golek sudah berada di bucu katil.
Hasil soal siasat, pasangan itu mengaku bukan mahram dan bukan suami isteri, mereka mendakwa sudah bertunang dan dijangka bernikah beberapa bulan lagi.
Jelas JAINJ, wanita itu berumur 40-an berstatus janda tiada anak, lelaki pula berumur 40-an dan belum pernah bernikah.
“Rumah itu adalah rumah sewa wanita tersebut dan lelaki menyusup datang. Apabila ditanya apa tujuan lelaki datang ke rumah ini, lelaki jawab bantu membetulkan tangki air yang rosak hingga air menitis.
“Lelaki kemudian menunjukkan tangki air itu di sebelah dapur dan penguat kuasa nampak sudah berada dalam keadaan elok. Lelaki juga menunjukkan spanar dan gam yang dikatakan sebagai alat untuk menguatkan alasan melakukan kerja-kerja berkenaan.”
Tambah JAINJ, siasatan mendapati rumah lelaki itu jaraknya kira-kira 20 kilometer dari kediaman wanita tersebut.
“Lelaki ini tinggal bersama-sama keluarga. Pada hari kejadian, lelaki dikatakan masuk ke rumah antara pukul 9 hingga 10 malam sebelum ditangkap pukul 1 pagi.”
Pihak yang membuat aduan awam terbabit mendakwa lelaki berkenaan sudah beberapa kali datang ke rumah janda tersebut sebelum ini.
Penguat kuasa merekodkan keterangan mereka yang akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.- MalaysiaGazette
















