Mohd Dzulkarnain Baharuddin

MELAKA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Melaka menerima kira-kira 71 permohonan berkaitan pindaan status bangsa kepada Baba Nyonya pada kad pengenalan setakat ini.

Pengarah Pendaftaran Negeri Melaka, Mohd Dzulkarnain Baharuddin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 22 permohonan telah diluluskan manakala selebihnya masih dalam proses semakan.

“JPN Negeri Melaka turut bekerjasama dengan Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia Melaka dalam memproses pembetulan maklumat bagi keturunan Baba Nyonya pada daftar kelahiran.

“Proses penelitian melibatkan semakan dokumen sokongan termasuk bukti kukuh serta surat rujukan daripada persatuannya bagi memastikan permohonan memenuhi syarat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Pengarah JPN Melaka Sempena Tahun Baharu 2026 di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dzulkarnain berkata, setakat ini hampir kesemua permohonan diterima adalah daripada pemohon di Melaka selari dengan sejarah dan latar belakang komuniti Baba Nyonya yang ramai menetap di negeri itu.

“Sebab itu bermula 1 Januari 2026, permohonan pertukaran keturunan kepada Baba Nyonya boleh dibuat di Melaka walaupun permohonan boleh diterima di mana-mana pejabat JPN di seluruh negara.

“Jadi kita galakkan supaya proses permohonan dibuat di Melaka kerana permulaan usaha ini adalah dari Melaka, oleh Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia yang berpengkalan di negeri ini,” katanya.

JPN Melaka, katanya, komited memastikan setiap permohonan diproses secara telus dan adil bagi memelihara ketepatan rekod serta warisan komuniti Baba Nyonya di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast