Keadaan motosikal mangsa selepas bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Kota Tinggi-Kluang, Kluang, hari ini.

KLUANG – Seorang lelaki pekerja kontraktor maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta yang terbabas dalam kejadian di kilometer 79 Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku pada pukul 5 petang ketika Mohamad Nor Azwan Abd Aziz, 34, yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dalam perjalanan dari arah Kluang menuju ke arah Kota Tinggi.

Kejadian berlaku apabila sebuah kereta Perodua Alza dipandu lelaki berusia 26 tahun, dari arah Kota Tinggi menuju ke bandar Kluang dipercayai hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan bertentang sebelum bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Semasa kejadian, pemandu kereta itu membawa seorang penumpang wanita berusia 35 tahun serta seorang bayi perempuan berumur satu tahun dua bulan.

Katanya, akibat kejadian itu, mangsa telah tercampak ke dalam belukar manakala kereta terbabit melanggar sebatang pokok di tepi jalan.

Menurut Bahrin lagi, perlanggaran itu telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ujarnya, pemandu kereta pula mengalami gegaran otak serta luka-luka di badan.

Manakala penumpang wanita patah tangan kanan dan kaki kiri, kedua-duanya dirawat di Zon Kuning Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.

Sementara bayi perempuan berkenaan tidak mengalami kecederaan.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast