Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena menyokong penuh pendirian kepimpinan UMNO Kedah yang menuntut agar autonomi negeri dihormati dalam menentukan hala tuju serta strategi politik parti.

Ketuanya, Mohd Farhan Ahmad berkata, setiap keputusan berkaitan kerjasama politik perlu dibuat secara matang berpaksikan realiti politik tempatan, keperluan semasa serta kepentingan UMNO dan rakyat Kedah.

“UMNO Kedah perlu diberikan ruang untuk merangka langkah-langkah strategik berdasarkan lapangan politik yang berbeza di negeri ini, tanpa pendekatan seragam yang mungkin tidak selari dengan dinamika setempat.

“Keutamaan UMNO Kedah adalah memperkukuh kekuatan dan kepercayaan rakyat terhadap parti melalui pendekatan yang berprinsip, berdisiplin dan berhemah.

“UMNO Kedah kekal fokus kepada pembinaan semula kekuatan parti di peringkat negeri demi kelangsungan perjuangan jangka panjang,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mencadangkan mereka diberikan autonomi dalam memutuskan kerjasama dengan mana-mana parti atau bergerak solo pada PRU-16.

Shaiful Hazizy berkata, langkah terbabit bagi membolehkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) lebih mudah bergerak.

Ia susulan dakwaan wujud usaha untuk menjadikan BN tidak lagi relevan dengan mengetepikan peranannya bersama dalam inisiatif membantu rakyat. – MalaysiaGazzette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast