KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia – Dewan Muda (DPMM Dewan Muda) menggesa kerajaan khususnya Perdana Menteri campur tangan dan mempertimbangkan supaya cadangan pengambilalihan IJM Corporation Berhad oleh Sunway Berhad ditangguhkan sementara untuk penelitian lebih menyeluruh.
Pengerusi DPMM Dewan Muda, Hisham Abdul Hamid berkata, kerajaan tidak boleh berselindung di sebalik hujah keputusan pasaran memandangkan ia berkait dengan isu pemilikan aset infrastruktur strategik negara.
Apatah lagi, menurutnya, isu itu juga berkait secara langsung dengan semangat dan iltizam yang pernah dinyatakan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera.
Menjelaskan lebih lanjut, jelasnya, struktur cadangan pengambilalihan itu menunjukkan Sunway tidak membeli IJM menggunakan wang tunai sebenar, sebaliknya sebahagian besarnya melalui penerbitan saham Sunway sebagai bayaran.
“Di sinilah timbul isu paling kritikal. Dalam dunia kewangan korporat, harga saham bukan ukuran sebenar nilai syarikat.
“Ukuran yang lebih asas dan berdisiplin ialah NTA atau RNAV (Nilai Aset Bersih Ketara), iaitu nilai aset sebenar selepas ditolak semua liabiliti.
“Jika semua aset dijual dan semua hutang dibayar, berapa nilai bersih sebenar yang tinggal?
“Bagi syarikat seperti IJM yang berasaskan aset fizikal dan konsesi infrastruktur, NTA atau RNAV ialah kompas sebenar, bukan harga saham yang boleh naik turun mengikut sentimen pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Hisham, jika pengambilalihan itu diteruskan, pemegang saham institusi seperti KWSP, PNB, KWAP dan Tabung Haji akan menukar pegangan langsung dalam IJM kepada pegangan dalam saham Sunway.
Jelas beliau, nilai pegangan institusi berkenaan selepas itu akan terikat sepenuhnya kepada turun naik harga saham Sunway.
“Dalam bahasa yang mudah, jika suatu hari nanti saham Sunway merosot dengan ketara seperti contoh-contoh yang pernah berlaku di pasaran, nilai “bayaran” yang diterima untuk IJM juga akan turut merosot.
“Ini bermakna aset infrastruktur negara sedang ditukar dengan instrumen pasaran yang nilainya boleh berubah dengan ketara,” katanya.
Tambahnya, jika pegambilalihan itu diteruskan juga, institusi amanah rakyat berisiko menjadi pemegang saham minoriti, kawalan ke atas aset strategik negara boleh berubah secara struktur dan pegangan ekuiti Bumiputera dalam sektor kritikal berisiko terus mengecil.
Katanya, ia bukan isu keuntungan jangka pendek, tetapi isu pemilikan, kawalan dan masa depan ekonomi negara.
Sehubungan itu, tambahnya, DPMM Dewan Muda mencadangkan supaya satu konsortium yang diterajui oleh Mara; Ekuinas dan Teraju bersama institusi pelaburan berkaitan kerajaan dan pemain korporat Melayu, dipertimbangkan bagi menilai pengambilalihan IJM.
“Cadangan ini wajar dilihat selari dengan aspirasi pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang telah dinyatakan oleh kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















